Persoalan yang ditimbulkan adalah berhubung dengan pengurangan LAD melalui kelulusan EOT. Dalam hal ini terdapat kekeliruan daripada pemahaman konsep pengurangan LAD. Sekiranya benar kontraktor mahu memohon lanjutan masa sebagaimana yang diperuntukan dalam syarat-syarat kontrak, dan sekiranya kontraktor sebenarnya didapati berhak untuk diberikan lanjutan masa, maka P.P. perlulah memberi lanjutan masa tersebut. Namun demikian sekiranya tujuan kontraktor adalah sebenarnya merayu untuk mengurangkan LAD melalui rayuan lanjutan masa, maka rayuan ini adalah tidak sejajar dengan peruntukan syarat-syarat kontrak.
Dalam hal ini sering yang menjadi tandatanya mengapakah kontraktor memohon lanjutan masa selepas sekian lama projek disiapkan. Isu sedemikian pernah dibangkitkan dalam prosiding Mahkamah dan ada kalanya permohonan lanjutan masa itu tidak dapat dibuktikan dan ditolak oleh Mahkamah. Seharusnya permohonan lanjutan masa oleh kontraktor sewajarnya dipohon dalam tempoh pembinaan dan bukannya setelah sekian lama projek disiapkan.
Dalam hal ini ada kemungkinan permohonan lanjutan masa itu bukanlah sesuatu yang boleh diluluskan menurut syarat-syarat kontrak tetapi sebaliknya lebih kepada cubaan untuk mengurangkan kenaan LAD. Sekiranya ini benar, maka permohonan lanjutan masa tersebut sebenarnya satu cubaan untuk menyalahguna peruntukan lanjutan masa dalam syarat-syarat kontrak.
Sebaliknya sekiranya permohonan lanjutan masa tersebut telahpun dipohon oleh kontraktor kepada P.P. terlebih dahulu dalam tempoh pembinaan tetapi telah ditolak, dan sekiranya kontraktor masih merayu agar permohonan lanjutan masa itu dipertimbangkan semula dan dalam rayuannya kali ini disokong dengan bukti-bukti yang lebih kukuh, dan setelah dinilai semula, P.P. mendapati permohonannya itu terbukti dan mempunyai asas yang kukuh sebagaimana peruntukan syarat-syarat kontrak, maka P.P. boleh mempertimbangkannya.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan merujuk kepada:
Bahagian Kontrak dan Keurusetiaan
Cawangan Kontrak dan Ukur Bahan
Ibu Pejabat JKR Malaysia