Sekadar perkongsian
Visi dan Misi JKR bersifat holistik. Kerangka Pengurusan Aset Menyeluruh bagi Aset Tak Alih melibatkan Kitaran Hayat Aset yang merangkumi Pengurusan Projek dan Pengurusan Penyenggaraan. Pelaksanaan Pengurusan Perubahan (Change Management) memerlukan kerjasama semua pihak di JKR dan kesemua Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan dalam merubah paradigma menguruskan aset tak alih yang lebih efektif serta bertunjangkan matlamat Kerajaan dalam memastikan setiap peruntukan yang disediakan untuk mewujudkan aset dan pengoperasian aset tak alih memberi pulangan yang baik kepada pihak Kerajaan dan juga kepada Rakyat.
Menggunakan konsep bongkah 'Iceberg', setiap perancangan untuk membangunkan (mewujudkan) aset tak alih (bangunan, jalan, aset air, aset pembentungan) baharu perlulah mengambil kira kos untuk menyenggara selama tempoh jangka hayat aset tak alih tersebut. Sekiranya tiada kemampuan untuk menyediakan peruntukan penyenggaraan yang mencukupi, maka pendekatan 'non asset solution' perlu diambil kira. Pendekatan ini bermaksud tiada keperluan untuk mewujudkan aset tak alih baharu, hanya menggunakan aset tak alih sedia ada. Aset tak alih sedia ada boleh dipanjangkan jangka hayatnya melalui kaedah Pemulihan, Ubahsuai dan Naik Taraf.
Selain itu, pemerkasaan pelaksanaan pemeriksaan bangunan-bangunan kerajaan perlu dipertingkatkan selaras dengan kehendak Perintah Am Bab E : Rumah dan Bangunan Pejabat Kerajaan yang menyatakan bahawa:
V. TANGGUNGJAWAB JABATAN KERJA RAYA
J.K.R patut memeriksa/membaiki bangunan.(17)
27. Adalah menjadi kewajipan Jabatan Kerja Raya untuk memeriksa semua rumah dan bangunan Kerajaan dalam tiap-tiap daerah setahun sekali dan membaikinya sebagaimana yang diperlukan.
Melalui pemeriksaan ini, maka status fizikal aset tak alih dapat dikenalpasti dan menjadi rujukan dalam merencana pengurusan aset menyeluruh yang optimum.
Sekian, terima kasih.