Setiap jawatan yang tersenarai di dalam waran perjawatan mempunyai fungsi dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh jabatan. Seterusnya pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab tersebut mempunyai implikasi perundangan/kontraktual. Sehubungan dengan itu kekosongan sementara penyandang sesuatu jawatan perlu ditanggung oleh seorang pegawai lain dengan syarat kekosongan sementara tersebut memenuhi syarat-syarat boleh ditanggung kerja.
Memandangkan pegawai yang menanggung kerja juga menaggung implikasi perundangan/kontraktual tambahan (disamping implikasi perundangan/kontraktual dalam menjalankan tugasan semasa beliau), maka adalah tidak adil untuk melewatkan kelulusan tanggung kerja pegawai yang berkaitan. Kelewatan kelulusan tersebut juga akan menjejaskan pegawai menerima insentif tanggung kerja lebih awal.
Oleh yang demikian Cawangan Pengurusan Korporat perlu kaji dan kenalpasti berlakunya kelewatan berkenaan serta mengatasinya segera agar ianya boleh meningkatkan lagi keberkesanan tugasan tambahan yang perlu ditanggung oleh seseorang pegawai semasa menanggung kerja.
Adalah dibimbangi ada pihak yang akan memutuskan tidak perlu dibuat tanggung kerja atau tidak perlu membuat permohonan tanggung kerja memandangkan proses kelulusannya terlalu lewat. Jika ada sesuatu jawatan yang layak ditanggung kerja tetapi penanggungan kerjanya tidak dibuat dan ianya dikesan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), maka pihak JPA boleh mengambil keputusan untuk melupuskan jawatan yang terlibat. Tanpa tanggungan kerja pihak JPA akan beranggapan jawatan berkenaan tidak lagi penting dan tidak perlu wujud (redundant). Pihak JPA boleh mengesan keadaan sedemikian melalui auditan perjawatan di peringkat kementerian/jabatan.