Pegawai Perkhidmatan Awam adalah dikecualikan dari mencarum kepada skim yang ditubuhkan di bawah Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (PERKESO). Dengan pengecualian ini, Pegawai Kerajaan di bawah Skim KWSP dan Pegawai Berpencen yang mendapat kemalangan atau kecederaan tidak kepada tahap hilang upaya tidak akan mendapat apa-apa faedah pampasan jika berlaku kemalangan atau kecederaan ke atas diri. Walau bagaimanapun, Kerajaan telah mewujudkan satu Skim Bayaran Pampasan (Ex-Gratia) secara pentadbiran oleh Perbendaharaan.
Faedah yang diberi di bawah Skim ini adalah melibatkan kemalangan atau kecederaan yang mengakibatkan:
(a) kematian;
(b) hilang upaya kekal dan terpaksa ditamatkan perkhidmatan; dan
(c) hilang upaya kekal tetapi tidak sampai kepada tahap ditamatkan atau disarakan daripada perkhidmatan.
Sila rujuk Pekeliling Perbendaharaan WP6.2 Skim Bayaran Pampasan (Ex-Gratia) Bagi Pegawai Kerajaan Di Bawah Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Dan Pegawai Berpencen Yang Ditimpa Kemalangan Atau Kecederaan Termasuk Yang Teraniaya Anasir-Anasir Jahat Semasa Menjalankan Tugas Rasmi.
Perlu diingatkan, kemalangan tidak hanya berlaku di tapak bina sahaja manakala Kad Hijau CIDB hanya untuk kegunaan di tapak bina sahaja. Personel Binaan yang memiliki Kad Hijau akan diberikan perlindungan di bawah Pelan Takaful Personel Binaan berkelompok CIDB. Pelan ini adalah merupakan satu bentuk perlindungan berdasarkan konsep Hibah (Pemberian/Hadiah) yang mana pembayarannya tertakluk kepada budi bicara dan pertimbangan CIDB.