Melihat kepada fakta yang diberikan, pengguna berdaftar Portal ini telah mencapai 4,492 dengan lebih daripada 100 moderator dilantik untuk menyelia sesi perbincangan, boleh dikatakan lebih 80% warga JKR telah mempunyai akses kedalam sistem ini. Tahniah kepada urusetia atas kerja keras mereka dan paling penting ucapan terima kasih kepada penyumbang soalan dan jawapan dalam setiap sesi perbincangan.
Berdasarkan pandangan, portal ini amat berguna kepada pegawai baharu dan merupakan pengerak utama sesi bual bicara dengan beberapa gergasi 'otai dan sifu' memberikan komen dan pandangan terhadap isu yang dibentangkan. Namun jika diperhatikan dengan jumlah soalan yang masih tidak dirungkai, beberapa persepsi boleh wujud dan boleh mendatangkan kemudaratan kepada portal ini pada masa yang akan datang. Ini perlu diperhalusi kerana mereka yang bertanya tentulah berharapkan jawapan yang tuntas dan dapat dijadikan sandaran dalam melaksanakan amanah yang digalas.
Apakah usaha yang dilaksanakan oleh urusetia dalam menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pengguna? Memandangkan kekangan masa SME untuk duduk dan mencari soalan dalam portal adakah ada sejenis mekanisma agar soalan-soalan getir ini sampai ke pengetahuan SME yang terlibat? Selain itu, apakah langkah yang diambil jika wujud soalan berganda kerana sikap ambil mudah pengguna? Sekurang-kurangnya memberikan link kepada jawapan sedia ada agar pertanyaan pengguna terjawab disamping mendidik pengguna secara halus agar semak dulu soalan-soalan yang hampir sama sebelum bertanya soalan yang sama oleh pengguna yang berbeza.
Urusetia perlu sentiasa peka dalam mencari jalan merungkai isu-isu yang dibangkitkan dengan segera dan tuntas agar mereka yang bertanya berpuashati dengan jawaban dan maklumbalas yang diberikan dan dengan itu ianya juga dapat memastikan portal ini sentiasa diminati.
Terima kasih.