Salah satu kaedah yang telah ditetapkan di dalam borang kontrak piawai ialah pengambilan polisi insurans sebelum setiap kerja dilaksanakan. Fasal 33 Borang Kontrak Piawai JKR 203/203A memperuntukkan bahawa tanpa menjejaskan liabilitinya untuk menanggung rugi kerajaan, kontraktor hendaklah sebagai satu syarat terdahulu sebelum memulakan kerja di atas tapak bina, mengambil dan menyenggara insurans yang perlu sebelum memulakan kerja di atas tapak bina. Fasal 38 di dalam borang kontrak yang sama menyatakan tiada kerja boleh dilaksanakan tanpa kontraktor terlebih dahulu mengemukakan nota liputan insurans dan juga resit premium yang telah dibayar kepada pegawai penguasa.
Insurans yang diambil perlu memenuhi kehendak projek dan skop perlindungan yang ditawarkan mestilah merangkumi segala kebarangkalian dalam sesebuah projek berkenaan. Polisi insurans yang dipilih seharusnya dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan memuaskan pihak yang mengambil insurans tersebut. Insurans juga merupakan jaminan keselamatan sumber manusia, bahan dan peralatan yang terdapat dalam sesebuah projek yang dijalankan.
Rujukan: Buku Panduan Pentadbiran Kontrak Kerja Raya
Polisi-polisi Insuran dan Bon Pelaksanaan
-Kontraktor mestilah diminta untuk melanjutkan tempoh liputan polisi-polisi insurans, Bon Pelaksanaan dan Jaminan Wang Pendahuluan yang belum dibayar balik sepenuhnya kepada satu tarikh yang dijangka siap serta mengemukakan pengesahan (endorsement) dan resit rasmi.
-Jika kontraktor gagal memperbaharui polisi-polisi insurans, P.P. hendaklah menggunakan haknya di bawah Kontrak untuk melanjutkan tempoh liputan insurans tersebut kepada satu tempoh yang dijangkakan kontraktor boleh menyiapkan keseluruhan kerja. P.P. akan menuntut kos bayaran premium yang terlibat yang ditambah dengan kos caj ke atas kos bayaran premium tersebut (on-cost charges) sebagaimana yang diperuntukan di dalam Lampiran Kepada Syarat-syarat Kontrak.