search
Log In
3 votes
24 views
Ikut kata syarikat pemaju, jalan yang dibina dengan sisa plastik ini jauh lebih tahan lama dan tahan lasak. Takde pihak nak cuba try test ke? Kut la boleh setel masalah jalan berlubang kat Malaysia ini. (Soalan ini disertakan sekeping gambar dengan caption ‘Jalan raya di Filipina ini diperbuat daripada 900 kilogram sisa plastik!’).
in Pavement 3,580 points 11 33 40
recategorized by

1 Answer

3 votes

Saya cuba bagi jawapan yang menyeluruh bagi pertanyaan ringkas ini.   

Polymer modified asphalt (PMA) telah sekian lama digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai bahan turapan jalan. Dengan mencampurkan sedikit polimer, turapan jalan dapat bertahan lebih lama, sangat sesuai digunakan di laluan dengan beban trafik yang tinggi. Namun polimer yang digunakan adalah polimer sintetik yang diproses di kilang seperti styrene-butadiene-styrene (SBS), ethylene methacrylate (EMA) dan low density polyethylene (LDPE). Sebagai rekod, polimer LDPE, EMA dan SBS digunakan masing-masing bagi turapan di runway 1, runway 2 dan taxiway Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sejumlah 25,000 tan sisa pepejal dijana setiap hari di Semenanjung Malaysia dan 14% darinya adalah plastik (anggaran pada 2012). Jika bahan plastik yang banyak digunakan oleh awam saban hari seperti beg plastik dan botol plastik (yang juga merupakan sejenis polimer) dapat dikitar semula dan digunakan sebagai bahan turapan jalan, selain dibuang dan menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar oleh kerana ia boleh bertahan selama 4,500 tahun tanpa terurai, sudah tentu ia akan memberi manfaat berganda seperti;

1. Turapan jalan lebih berdaya tahan.

2. Memulihara alam sekitar.

3. Menambah nilai sisa plastik.

4. Teknologi lestari (eco-friendly technology).

5. Pembinaan mampan (sustainable construction).

Sehubungan itu, CREaTE telah menjalankan kajian lanjutan ke atas teknologi ini di makmal dan seterusnya telah melaksanakan kajian di tapak apabila bahan turapan plastik ini digunakan bagi kerja penurapan jalan di Laluan 98, Temerloh pada September 2017, disusuli di Laluan 3, Kemaman pada Oktober 2018 dan di Laluan 23, Tangkak pada November 2019.

Kuantiti sisa plastik yang digunakan di tapak-tapak kajian di atas ialah 4 tan bagi penurapan 1 km jalan 2-lorong setebal 50 mm. Oleh itu, panjang jalan yang dikatakan diturap di Filipina dengan menggunakan 900 kg itu dianggarkan 225 meter.    

Ujian di makmal menunjukkan asphalt yang dihasilkan dengan kepingan kecil sisa plastik, sama ada dari beg atau botol plastik (beg plastik baharu diperolehi dari kedai runcit sementara botol plastik di buang tudung dan bahagian atas serta bawahnya kerana lebih tebal dan keras), yang digaul dengan aggregate panas terlebih dahulu sebelum digaul dengan bitumen di dalam kuali, adalah lebih tinggi daya tahannya – sehingga 50% bagi resilient modulus dan sehingga 20% bagi Marshall stability. Ini adalah seiring dengan kebaikan asphalt plastik yang dilaporkan di negara luar sebelum ini.

Bagi kesemua tapak kajian yang dibina itu, sisa plastik yang digunakan ialah post-industrial waste yang dipotong menjadi kepingan kecil (shredded). Sisa plastik itu dibancuh dengan aggregate panas sebelum digaul dengan bitumen di dalam pugmill di kuari. Proses ini dikenali sebagai dry mixing. Namun, berdasarkan pemerhatian di makmal, bukan semua kepingan plastik itu menjadi cair dan membalut aggregate seperti yang dikehendaki. Ada yang menjadi kecut dan bergumpal. Bagi tapak kajian di Tangkak, sisa plastik itu dibancuh dengan bitumen terlebih dahulu sebelum bitumen itu digaul dengan aggregate panas. Ini dinamakan wet mixing.

Pemantauan ke atas prestasi turapan di tapak kajian di Temerloh pada awalnya menunjukkan turapan plastik lebih baik dari turapan konvensional; masih berada dalam keadaan baik (tidak retak) selepas 12 bulan manakala turapan konvensional didapati telah mula retak selepas 6 bulan. Walau bagaimanapun, turapan plastik pun telah retak juga selepas 15 bulan. 

Kebanyakan sisa plastik di negara ini dilambak di serata tempat, ada yang dibakar. Hanya sebilangan kecil, kira-kira 2% pada tahun 2013, dikitar semula. Oleh sebab itulah Malaysia dianggap sebagai salah sebuah negara di dunia yang dicemari sisa plastik paling teruk. Ironinya, Malaysia juga mengimport sisa plastik dari negara lain. Pada tahun 2016, sisa plastik yang diluluskan untuk diimport oleh JPSPN ialah sebanyak 485,000 tan. Mengikut laporan British National Audit Office, Malaysia ialah pengimport terbesar sisa plastik dari Britain iaitu sebanyak 42,500 tan atau 17% dari 250,000 tan sisa plastik dari negara itu bagi tempoh suku pertama tahun 2018.

Mungkin agak memeranjatkan kita, industri sisa plastik di negara ini dianggarkan bernilai RM30 billion! Apabila permohonan untuk lesen import (AP) sisa plastik dibuka semula dengan peraturan dan syarat yang lebih ketat oleh KPKT pada awal 2019 selepas dibekukan seketika pada Julai 2018, terdapat lebih dari 40 syarikat telah diberi kelulusan. Sisa plastik ini diproses menjadi resin (terdapat lebih dari 60 kilang memproses resin di Malaysia) yang digunakan bagi menghasilkan barangan elektrik dan elektronik – industri yang paling pesat berkembang dalam penggunaan sisa plastik, serta barangan lain berasaskan plastik. Namun, hakikatnya kebanyakan sisa plastik yang dikitar semula adalah diimport kerana sisa itu lebih bersih dan sedia terasing mengikut jenis plastik. Sebaliknya, sisa plastik di negara ini kebanyakannya tercemar dengan sisa yang tidak boleh dikitar semula - sisa makanan.

Sewajarnya, penggunaan sisa plastik sebagai additive dalam penghasilan bahan turapan jalan dapat memberi manfaat dua serangkai – turapan jalan yang lebih berdaya tahan, dan pengurangan sisa plastik domestik yang dilambak. Harapannya, dengan penglibatan agensi lain seperti SWCorp (agensi kerajaan yang diperbadankan untuk menguatkuasakan pengurusan sisa pepejal negara, termasuk plastik, berdasarkan polisi yang ditetapkan oleh JPSPN), lebih banyak sisa plastik khususnya dalam bentuk post-consumer waste tempatan dapat dikitar semula.

Menurut SWCorp, jika terdapat permintaan, adalah suatu tindakan yang mencabar untuk mengutip sisa plastik jenis ini di tempat pembuangan sampah, mengasingkan dari bendasing (sisa makanan dan sampah lain) dan mengikut jenis plastik yang berbeza, kemudian dibersihkan sebelum dihantar ke kilang untuk dipotong kecil atau dijadikan resin, sebelum dapat digunakan oleh kilang membuat barangan plastik atau kuari pengeluar asphalt. Mungkin kos sisa plastik yang telah diproses itu lebih tinggi dari sisa plastik yang diimport! 

15,950 points 4 30 81
...