Memoir Menangani Masalah Jalan Runtuh Agensi Lain

razali
Nukilan karya En. Mohd Razali Derahman yang mendapat hadiah Tempat Pertama semasa Kursus Penulisan Memoir anjuran Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu pada 1hb Dis 2015

Selain daripada masaalah tanah runtuh di jalan persekutuan seperti yang telah diceritakan di dalam memoir terdahulu, saya juga telah menerima permohonan bantuan daripada Ketua Pengarah PERHILITAN untuk menangani masaalah jalan hampir runtuh melibatkan laluan masuk ke Gunung Tahan di Merapoh. Jalan tersebut adalah jalan di bawah PERHILITAN yang telah dibina menggunakan khidmat Kor Jurutera ATM.

Tinjauan ke lokasi menunjukkan kedua-dua belah tebing jalan sudah terhakis dan rekahan sudah berlaku pada permukaan kiri-kanan jalan tersebut. Rekahan tersebut sudah sampai ke tahap kritikal dan tidak selamat digunakan. KP PERHILITAN amat terdesak kerana PM Tun Mahathir dijangka akan melawat ke Taman Negara melalui jalan tersebut pada bulan Mac, iaitu; 3 bulan dari tarikh.

KP PERHILITAN telah merayu kepada saya untuk membantunya kerana semakan IKRAM mendapati Rm1 juta diperlukan dan masa pembinaan agak panjang melibatkan pengukuhan kaki cerun. Beliau hanya boleh menyediakan sekitar RM300,000 untuk kerja tersebut dan ia perlu boleh digunakan sebelum lawatan PM. Saya dan team jalan JKR Daerah agak serba salah kerana jalan penyelesaian sebenar adalah sepertimana syor IKRAM.

Kami di JKR Daerah telah berbincang mencari kaedah yang paling sesuai tanpa melibatkan kerja tanah yang besar di dalam kawasan Taman Negara. Sebarang kerja melibatkan kaki cerun tidak boleh diterima kerana kekangan tersebut. Pembaikian hanya perlu tertumpu pada struktur atas yang rosak. Tiada sebarang kes rujukan untuk kami berpandu bagi menangani masaalah, hanyalah bergantung kepada kreativiti kami sendiri. Apabila seorang KP sampai ke tahap merayu meminta tolong daripada JD tahap rendah gred J3, kami sememangnya tidak sampai hati untuk menolak begitu sahaja.

Hasil perbincangan, kami telah merencanakan satu sistem berasaskan self-balancing mechanism yang akan berada di atas tapak yang masih kukuh dan mampu mengimbangi ketidakstabilan cerun di kiri-kanan jalan. Kami sedar bahawa kegagalan rencana ini akan membawa risiko besar kepada kami kerana ini bukanlah satu kaedah daripada pakar-pakar kejuruteraan atau cerun JKR. Ia adalah kaedah kami sendiri yang belum terbukti lagi dan tidak juga terdapat dalam mana-mana syor penggunaan dalam manual produk pembekal. Sesemangnya tindakan kami ini bakal mengundang masaalah jika ia gagal berfungsi sepertimana direkabentuk. Seperti biasa, kepadaNya kami letakkan segala harapan satelah menggunakan segenap kepandaian yang ada pada kami untuk membantu agensi yang memerlukan.

Kaedah yang kami rangka adalah dengan menggunakan produk Maccafferi Terramesh dengan wiremesh sepanjang 4m dengan hujungnya gabion mesh 1m persegi, dipasang dengan overlap 1m dengan kedua hujungnya gabion bersaiz 1m persegi. Kaedah ini kami dapati daripada buku manual produk Macafferi dengan gabion pada kawasan cerun, dipasang berlapis-lapis untuk membentuk slope surface daripada gabion. Tidak ada mana-mana manual menunjukkan penggunaannya untuk embankment kiri dan kanan. Ini adalah hasil daripada kreativiti kakitangan melalui percambahan fikiran.

Berbekalkan keyakinan dengan kaedah yang kami hasilkan kami mengeluarkan sebutharga terpilih. Rekabentuk kami memerlukan jalan dipotong 3m dalam sebagai asas kepada terramesh. 1m overlap disyaratkan pada lapisan paling bawah dan diikat untuk menambah kekuatan. Terramesh ini dihampar dengan crusher-run sedalam 1m sebagai asas untuk lapisan kedua yang memerlukan 2m overlap. Begitulah untuk lapisan ketiga yang menjadi asas jalan yang disudahi dengan turapan premix.
Kontraktor yang dipilih mempunyai loji dan jentera-jentera bersaiz kecil yang boleh bekerja di tebing yang curam. Bekalan batu-batu untuk membina gabion dan crusher-run base juga diangkut sedikit demi sedikit dari luar kerana tiada tempat untuk stockpile di laluan masuk tersebut. Kerja tersebut disiapkan di dalam masa tidak lebih 1 bulan dari tarikh lantikan kontraktor. Jalan yang terputus boleh digunakan kembali untuk sampai ke kaki Gunung Tahan.

KP PERHILITAN amat berpuas hati dengan penyiapan kerja tersebut. Saya memaklumkan kepadanya bahawa rekabentuk kami adalah berkonsepkan sementara sahaja dan tindakan yang lebih sempurna adalah dengan kaedah IKRAM. Walaubagaimanapun saya tidak mendengar jalan tersebut gagal semula. Apa yang berlaku adalah KP sangat berpuas hati dan meminta kami melakukan perkara yang sama untuk dua lagi lokasi di sepanjang jalan tersebut. Kali ini kami mengubahsuai dengan hanya membina dua lapis gabion kerana merasakan bahawa rekabentuk pertama kami agak berat kepada stuktur jalan tersebut.

Itulah pengalaman kami di mana dengan kekuatan teknikal dan keyakinan diri, kami mampu mengubahsuai kaedah gabion slope wall menjadi double sided gabion wall with interlinked gabion mesh untuk mengatasi masaalah jalan runtuh. Sebagai tanda puas hati KP telah menawarkan dua ekor rusa dari ladang ternak PERHILITAN untuk kami raikan bersama kakitangan. Dan majlis makan malam kesyukuran kakitangan di perkarangan rumah JD sungguh meriah dan memuaskan hati sekali dengan rusa panggang sebagai hidangan istimewa. Alhamdulillah.

Memoir1

Memoir2