Lanjutan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Pembudayaan Ilmu JKR (JKPPPI) Bil 4/2015, satu Bengkel Penulisan Memoir telah diadakan yang bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada para peserta mengenai teknik penulisan memoir yang berkesan. Program ini telah dihadiri oleh seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada Pengurus Pengetahuan JKR dan pegawai JKR yang bakal bersara.
Bengkel ini telah dikendalikan oleh Dr. Aminuddin Abdul Karim dan dibantu oleh En Muhammad Ali dari Syarikat Tomodachi Sdn. Bhd.. Dr. Aminuddin mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang penulisan dan hasil karya beliau termasuklah Memoir Seorang PTD Kumpulan Tiga (2011), Menyingkap Sejarah Lembah Bama di Negeri Pahang Sebagai Pusat Perdagangan Terawal bagi Asia Tenggara dan Mengesan Sultan Pemerintah Riau-Lingga-Johor Yang Menetap di Lembah Bama (2009) dan Kajian Terhadap Hikayat Seri Rama Dari Perspektif Strategi dan Sebagai Naskhah Tertua Yang Dikarang Oleh Orang Lembah Bama, Kuala Lipis, Pahang (2011).
Di permulaan program, Dr. Aminuddin telah menyampaikan taklimat dan penerangan mengenai Penulisan Memoir. Di dalam taklimat tersebut, beliau telah berkongsi teknik dan kaedah penulisan yang boleh dipraktikkan oleh para peserta di dalam menghasilkan penulisan memoir yang baik dan berkesan. Sesi di sebelah petang diteruskan dengan latihan amali di mana para peserta dikehendaki untuk menulis memoir ringkas mengenai pengalaman masing-masing. Bagi membantu para peserta untuk menulis memoir masing-masing, mereka turut dibekalkan dengan buku bertajuk Bagaimana Menulis Biografi Dari Segi Teori dan Praktik Serta Koleksi Biografi/ Memoir/ Autobiografi (2012) hasil karya Dr. Aminuddin. Di akhir program, Dr. Aminuddin telah sudi untuk menyampaikan sijil penyertaan bengkel kepada para peserta.