Sesi Bual Bicara TKPKR 2016

Program Professional Executive Talk (PET 2-2016) dan Bual Bicara Bersama Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya yang telah diadakan pada 13 Disember 2016 merupakan jalinan usahasama di antara Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, JKR dan Pertubuhan Professional JKR Malaysia (ProJKRM). Majlis telah dihadiri lebih 300 peserta dari cawangan dan negeri.

Majlis yang berteraskan program ilmuan merupakan langkah berterusan Jabatan dalam memperkasakan modal insan, berpaksikan kepada pembelajaran berterusan. Objektif murni ini adalah untuk melahirkan pegawai yang lebih inovatif dan proaktif sejajar peningkatan mutu perkhidmatan Jabatan yang diberikan kepada stakeholders dan rakyat amnya.

Majlis pada sebelah pagi telah menjemput YBhg. Dr Rumesh Kumar dari Sharma Management International sebagai penceramah jemputan.  Beliau yang merupakan pakar dalam bidang Knowledge Management telah menyampaikan taklimat bertajuk “Use it or Lose it”. Taklimat penting ini merupakan salah satu usaha murni Jabatan untuk mencapai visi sebagai penyedia perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan di dalam pengurusan aset, pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan.

Majlis pada sebelah petang pula memberi kelainan dimana peserta berpeluang menimba pengalaman dan pengetahuan serta bertukar pendapat bersama Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya. Sesi Bual Bicara Bersama TKPKR berjaya dilaksanakan dengan kehadiran YBhg Dato’ Ir. Dr. Hasnul bin Mohamad Salleh, Timbalan KPKR (Sektor Infra), YBhg Dato’ Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman, Timbalan KPKR (Sektor Pakar), YBhg Ar Dato’ Sri Dr. Amer Hamzah bin Mohd Yunus,Timbalan KPKR (Sektor Bangunan) dan Puan Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid (moderator).

Untuk memastikan pengalaman dan pengetahuan TKPKR dikongsi bersama segenap pegawai JKR, live streaming sesi bual bicara dilaksanakan.

Jabatan berharap jalinan usahasama sepertimana ini dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang bagi memastikan ilmu pengetahuan kritikal yang dimiliki oleh pegawai-pegawai yang berpengalaman dapat dipindahkan kepada golongan generasi pegawai muda yang menjadi pelapis Jabatan.