Program Persijilan Pengurus Pengetahuan JKR di CREaTE

Program Persijilan Pengurusan Pengetahuan JKR yang julung-julung kali dianjurkan hasil kerjasama strategik di antara Unit Enterprise Content and Knowledge Management, Caw. Perancangan Aset Bersepadu, CREaTE dan The International Knowledge Management Institute, Amerika Syarikat telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia pada 24 Ogos 2017 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 5, Blok F, Ibu Pejabat JKR.

Turut hadir sama pada majlis perasmian ini ialah YBhg. Dato’ Dr. Meor Abdul Aziz bin Hj. Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Infra), YBrs. Sr. Ratna binti Haji Mahyuddin, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Pakar) serta pegawai – pegawai kanan Jabatan Kerja Raya.

Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Mr Douglas Weidner, Pengasas, International Knowledge Management Institute, Amerika Syarikat melalui video conferencing dari Florida, Amerika Syarikat. Seterusnya, ucapan perasmian Program Persijilan Pengurusan Pengetahuan JKR telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha.

Dalam ucapan beliau, YBhg. Dato’ Sri KPKR telah menekankan mengenai kepentingan untuk menguruskan pengetahuan kritikal (organisasi dan teknikal) di dalam memastikan kejayaan projek yang dilaksanakan oleh Jabatan. Beliau kemudiannya mengucapkan selamat maju jaya kepada para peserta yang telah terpilih untuk mengikuti program ini dan berharap agar semua ilmu pengetahuan yang diperolehi sepanjang program dapat dimanfaatkan dalam usaha berterusan Jabatan untuk membudayakan amalan perkongsian pengetahuan dan pembelajaran berterusan.

Majlis diteruskan dengan tayangan video pengenalan mengenai program Persijilan Pengurusan Pengetahuan dan diikuti dengan taklimat pengenalan Program Persijilan Pengurusan Pengetahuan JKR oleh Sr Roznita Othman, Pengarah Kejuruteraan, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu. Di penghujung majlis, para hadirin telah diperkenalkan kepada sepuluh peserta program dari JKR yang terdiri daripada pegawai dari pelbagai disiplin dan lima orang peserta dari luar JKR.

Lanjutan daripada majlis pelancaran ini, satu kursus Persijilan Pengurus Pengetahuan JKR Malaysia telah diadakan dari 25 hingga 29 September 2017 di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE). Seramai 11 orang pegawai daripada JKR dan 6 orang peserta luar (Sunway College, Institut Sukan Negara, INCEIF  dan Sharma Management International Sdn. Bhd.) telah menghadiri program yang dikendalikan oleh Dr Rumesh Kumar, Pengurus Pengetahuan Bertauliah (CKM).

Sepanjang program berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul berkaitan bidang Pengurusan Pengetahuan yang merangkumi aspek teori dan praktikal. Pada hari terakhir program, Ir. Abdul Mutalif Abdul Hameed, Pengarah Bahagian Inovasi, Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan CREaTE telah sudi hadir untuk menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta.

Program Persijilan Pengurus Pengetahuan JKR Malaysia akan diteruskan dengan sesi peperiksaan yang akan dijalankan pada 16 Oktober 2017. Ini kemudiannya akan diikuti dengan sesi pembentangan projek berkaitan Pengurusan Pengetahuan pada 30 November 2017 bagi melayakkan peserta untuk ditauliahkan selaku Pengurus Pengetahuan Bertauliah.