Program K-Visit Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Ulu Slim, Perak

Satu sesi lawatan (Knowledge Visit) ke Sekolah Kebangsaan Pos Berseh, Ulu Slim, Perak telah diadakan pada hari ini, 2 Mac 2017 yang dianjurkan oleh Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) JKR, dan disertai oleh warga JKR daripada cawangan ibu pejabat dan negeri.

Delegasi lawatan yang diketuai oleh Ir. Mohd Rahim bin Kawangit, Pengarah Bhg. Pengurusan Projek Kompleks, CPAB JKR disambut mesra oleh guru-guru serta pelajar-pelajar sekolah berkenaan pada jam 10.30 pagi. Pelajar di sekolah ini adalah terdiri daripada 100% anak orang asal Kaum Semai yang tertumpu di daerah tersebut.

Setelah ucapan aluan dan penyerahan derma berupa bahan bacaan diadakan, sesi diteruskan dengan aktiviti pembacaan cerita interaktif, ‘storygamy’ (bercerita sambil membuat seni lipatan), aktiviti ‘picture puzzle’, dan lain-lain aktiviti ramah mesra yang berjaya merapatkan hubungan serta sedikit sebanyak membuka minda para pelajar berkenaan peranan JKR dalam pembangunan negara.

Lawatan yang singkat namun penuh makna yang berakhir pada jam 12.30 tengahari ini telah berjaya memberi kesedaran tentang betapa perlunya perhatian khusus diberikan kepada para pelajar ini, melihat kepada kesungguhan dan keikhlasan yang telah ditunjukkan. Pihak JKR Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan serta pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Berseh, Ulu Slim, Perak di atas layanan mesra yang diberi.

Berita diperolehi dari laman Facebook Rasmi Jabatan Kerja Raya Malaysia