Kertas Kerja ECKM, JKR Malaysia Diiktiraf Terbaik di 20th PAQS, Christchurch, New Zealand

PAQS2

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasukan ECKM dari Cawangan Perancangan Aset Bersepadu JKR Malaysia, terutama pembentang kertas kerja En. Khairil Hizar Md Khuzaimah dan ketua pasukan, Sr Roznita Othman di atas kejayaan dianugerahkan “Best Paper Award (Practitioner)” di persidangan PAQS yang telah diadakan di New Zealand pada 23 dan 24 Mei 2016.

Persidangan PAQS yang bertemakan “Building for the Future – a Global Dilemma” telah berlangsung di Air Force Museum, Christchurch, New Zealand dan dihadiri oleh seramai 430 orang peserta. PAQS merupakan satu persatuan antarabangsa yang mewakili Juruukur Bahan di rantau Asia Pasifik di mana ahli-ahlinya terdiri daripada 13 buah negara termasuk China, Jepun, Hong Kong, Singapura, Australia, New Zealand, Kanada, Afrika Selatan, Brunei, Sri Lanka, Fiji dan Malaysia.

IMG-20160524-WA0004

Sebanyak 40 kertas kerja telah diterima oleh penganjur dan 20 daripadanya telah dibentangkan semasa sesi persidangan berlangsung. Dua orang pegawai JKR iaitu En Khairil Hizar Md Khuzaimah dan Pn Annuryani Mohamed Raihan telah membentangkan kertas kerja masing-masing yang bertajuk “Empowering AEC Professionals towards High Performance and Excellence via Communities of Practice and Knowledge Networks: Case Study of the Public Works Department of Malaysia” dan “Building for the Future; a Global Dilemma – Refurbishing the Old, TRansforming It into Hipster”.

Sesunguhnya segala usaha yang telah dilaksanakan dalam membangunkan program ECKM seperti CoP, JCoP dan JPedia untuk membudayakan penggunaan pengetahuan dalam kerja seharian telah menampakkan hasilnya sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa dalam bentuk kertas kerja terbaik persidangan. Segala usaha ECKM untuk membudayakan Pengurusan Pengetahuan di JKR amatlah dihargai. Di dalam dunia tanpa sempadan ini yang berteraskan maklumat, peranan yang telah dan sedang aktif dimainkan oleh Unit ECKM JKR adalah merupakan sebagai satu dari resepi utama survival JKR dalam peranannya sebagai agensi pelaksana projek utama dan penasihat teknikal Kerajaan. Syabas diucapkan.