Taklimat dan Bengkel “Using Story Telling For Knowledge Transfer”

Bersempena dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Pembudayaan Ilmu JKR (JKPPPI) Bil. 1/2016 yang telah diadakan pada 1 hingga 3 Mac 2016 di Lumut, Perak, satu sesi taklimat yang bertajuk “Using Story Telling For Knowledge Transfer” telah disampaikan oleh Dr Khairul Shafee Kalid dari Universiti Teknologi Petronas. Di dalam sesi tersebut, Dr Khairul telah memperkenalkan kepada para peserta yang terdiri daripada Pengurus Pengetahuan Jabatan mengenai penggunaan teknik “story telling” di dalam inisiatif Pengurusan Pengetahuan terutamanya proses pemindahan dan perkongsian pengetahuan tacit.

Susulan daripada sesi taklimat yang telah disampaikan pada hari pertama program, para peserta mesyuarat berpeluang untuk mempraktikkan ilmu yang dipelajari melalui sesi pembentangan “Rumusan Lawatan ke Pulau Pangkor” pada hari kedua. Dengan menggunakan hasil kreativiti masing-masing, setiap peserta yang dibahagikan kepada empat kumpulan telah berbincang dan melakarkan pengalaman yang ditimba sepanjang sesi lawatan secara visual di atas kertas mahjung. Seterusnya, wakil daripada setiap kumpulan telah dijemput untuk membentangkan rumusan lawatan tersebut di dalam bentuk penceritaan berdasarkan kepada lakaran visual yang telah disediakan.

Hasil maklumbalas yang diterima oleh peserta mendapati kaedah story telling boleh diperkenalkan dengan meluas di kalangan warga JKR bagi membolehkan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh setiap individu sama ada di dalam bidang pengurusan projek atau pengurusan aset dapat dikongsi bersama dengan lebih berkesan.