Tips Sebagai Saksi Mahkamah

Posted by

Saksi Pihak Kerajaan Diasak Bertalu-Talu Di Mahkamah.

 


image001

Sudah pasti mengundang rasa gelisah dan gerun bagi sesiapa yang akan menghadapi kes di mahkamah sebagai saksi dengan pelbagai persoalan bermain di benak fikiran untuk menghadapi sesi perbicaraan. Dengan itu, anda memerlukan tips dan perlu mengetahui perkara-perkara asas sebelum dan semasa di mahkamah.


Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Perbicaraan?

  • Perbicaraan adalah keadaan dimana melibatkan dua pihak, diwakili oleh peguam masing-masing, tampil dihadapan hakim di mahkamah untuk menceritakan masalah mereka. Terdapat perbicaraan sivil dan perbicaraan jenayah. Perbicaraan penceraian sebagai contohnya dan kebanyakan lain-lain perbicaraan bersangkut-paut dengan hal-ehwal keluarga, merupakan perbicaraan jenis sivil. Perbicaraan sivil ialah dimana dua pihak (atau organisasi, perniagaan, dsb) pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan ketidaksefahaman mereka.
  • Didalam kebanyakan perbicaraan sivil, satu pihak akan mendakwa bahawa beliau telah disakiti, atau telah dicabul haknya, atau harta-bendanya telah dimusnahkan oleh pihak yang satu lagi. Oleh itu, beliau akan memulakan kes tersebut (atau ‘menyaman’ pihak yang satu lagi). Pihak ini dikenali sebagai pendakwa. Pihak yang disaman pula dikenali sebagai defendan.

Siapa Itu Saksi?

image003

  • Saksi adalah seseorang yang memberi bukti dimahkamah dengan memberi keterangan. Didalam perbicaraan sivil, seorang saksi boleh merupakan sesiapa sahaja yang mengetahui / mengenali salah seorang dari pihak yang terlibat dalam kes tersebut. Oleh itu, seseorang itu mungkin diminta untuk menjadi saksi kerana beliau mempunyai maklumat yang berkaitan dengan kes tersebut.
  • Anda samada boleh menawarkan diri bersetuju untuk menjadi saksi, ataupun pihak mahkamah boleh memaksa anda menjadi saksi dengan mengeluarkan saman.
  • Contohnya, didalam perbicaraan penceraian, kedua-dua pasangan besar kemungkinan akan menjadi saksi untuk pihak mereka sendiri, kerana kedua-dua pasangan pastinya mahu menceritakan kisah mereka sendiri.

 

Persediaan Untuk Hari Anda Di Mahkamah

image005

  • Sekiranya anda akan menjadi saksi dimahkamah, anda akan dapat meminimumkan kerisauan anda dengan cuba mengambil tahu perkara yang anda tidak biasa lagi. Cuba dapatkan maklumat dimahkamah manakah kes anda akan didengar, pergi dan duduk didalam bilik perbicaraan tersebut sehari dua sebelum hari perbicaraan anda. Terdapat beberapa barisan dibelakang bilik yang dikenali sebagai ‘galeri awam’ yang biasanya diperuntukan bagi ahli keluarga dan lain-lain orang awam untuk duduk dan memerhati. Dengan berlatih memerhatikan prosiding tersebut akan memberikan anda idea tentang apa yang akan berlaku pada hari perbicaraan anda sendiri.
  • Bersedia dengan memastikan anda telah membaca dan memahami semua dokumen yang berkaitan dengan kes anda. Ia tidak semestinya perlu dihafal tetapi memadai sekiranya anda boleh membiasakan diri anda dengan fakta-fakta kes dan tarikh-tarikh penting.
  • Dapatkan masa rehat yang secukupnya sehari sebelum hari perbicaraan anda.
  • Pada hari perbicaraan, datanglah lebih awal.
  • Berpakaian kemas dan konservatif. Jangan pakai selipar atau sandal. Jangan memakai pakaian yang boleh menarik perhatian, sebagai contoh, warna pakaian yang sangat terang atau aksesori yang membuat bising. Warna-warna pucat merupakan warna yang lebih sesuai.

Apa Yang Berlaku Di Mahkamah

image007

  • Apabila anda memasuki bilik perbicaraan, anda perlu memberikan nama anda kepada Jurubahasa mahkamah untuk memberitahu beliau bahawa anda hadir. Sekiranya anda datang bersama-sama peguam anda, kebiasaannya peguam andalah yang akan melakukannya untuk pihak anda.
  • Anda kemudiannya perlu duduk disalah satu barisan terakhir dibelakang bilik perbicaraan (galeri awam) sepanjang perbicaraan anda.
  • Sekiranya anda akan memberi keterangan sebagai saksi, peguam anda akan meminta keizinan dari hakim untuk memanggil anda kehadapan sebagai saksi. Anda kemudiannya akan tampil kehadapan bilik perbicaraan dan menyerahkan kad pengenalan kepada Jurubahasa mahkamah yang kemudiannya akan menyerahkannya kepada hakim. Kemudian anda akan pergi dan berdiri didalam kandang saksi. Anda akan diminta mengangkat tangan kanan dan bersumpah bahawa segala keterangan yang diberikan adalah benar belaka.

 

Terdapat 3 Peringkat Soalan Yang Anda Boleh Anda Jangkakan Ketika Menjadi Saksi

1. Pemeriksaan Utama: Pada peringkat ini, anda akan disoal oleh peguam

Biasanya peguam anda sendiri yang akan meminta anda memberi keterangan. Soalan-soalan akan diarahkan kepada untuk mewujudkan kes atau untuk menunjukkan penglibatan anda didalam kes tersebut. Soalan-soalan akan berkaitan dengan pekerjaan anda, latihan profesional, pengalaman, tanggungjawab dan lain-lain lagi. Soalan-soalan yang ditanya akan lebih bersifat terbuka, bermakna anda akan diberi peluang untuk memberikan jawapan dan penerangan yang lebih lengkap. Peguam anda biasanya mungkin akan berbincang mengenai soalan-soalan tersebut sebelum hari perbicaraan itu sendiri. Peringkat ini merupakan peringkat paling mudah bagi seorang saksi

2. Pemeriksaan Balas: Pada peringkat ini, anda akan ditanya oleh peguam dari pihak penentang.

Biasanya dari pihak penentang anda. Peguam dari pihak penentang akan mencuba sedaya upaya didalam lingkungan undang-undang untuk mempertahankan pelanggannya. Ini bermakna sasaran peguam pihak penentang ialah untuk melemahkan atau membinasakan kes anda dan cuba untuk merendahkan kredibiliti testimoni anda. Peguam itu akan bertanya semua jenis soalan, dalam apa-apa cara yang beliau ingini. Soalan-soalan beliau akan ditumpukan untuk menimbulkan kesangsian didalam fikiran hakim mengenai anda. Peguam pihak penentang akan menekankan kepada kelemahan anda dalam pelbagai aspek kehidupan anda sebagai contoh latar belakang anda, profesion dan latihan anda, tanggungjawab anda, kebolehan anda sebagai pasangan dan ibubapa dan lain-lain lagi. Beliau juga akan cuba menunjukkan ketidakstabilan didalam testimoni atau keterangan anda yang telah anda buat sebelumnya. Soalan-soalan yang ditanya akan lebih bersifat tertutup iaitu ia hanya memerlukan anda menjawab ‘ya’ atau ‘tidak’ sahaja.

Walaupun anda akan rasa bahawa peguam pihak penentang cuba untuk menyerang anda, janganlah terlalu mengambil hati dengannya. Beliau hanya menjalankan tugasnya semata-mata. Jangan merasa terlalu tertekan. Adalah penting supaya anda terus bersikap tenang dan menjawab kesemua soalannya mengikut kemampuan anda yang terbaik. Sekiranya peguam pihak penentang cuba menganggu atau melayan anda dengan kurang hormat, beliau akan hanya mempamerkan imej yang buruk kepada hakim. Sebaliknya, sekiranya anda bertenang, anda akan dapat meninggalkan imej yang baik kepada hakim. ‘Ketenangan’ anda mungkin akan membantu anda ‘menterbalikkan meja’ kepada peguam pihak penentang, menyebabkan beliau menjadi lebih cemas.

3. Pemeriksaan Semula: Selepas Pemeriksaan Balas

Peguam anda memanggil anda untuk memberi keterangan untuk ‘memeriksa keterangan’ anda semula. Tujuan diadakan pemeriksaan semula adalah untuk menjelaskan beberapa jawapan dari soalan-soalan yang mana telah ditanya oleh peguam pihak penentang semasa pemeriksaan balas sebelum itu. Peguam anda akan bertanya semula kepada soalan-soalan yang pada pendapat beliau anda tidak dapat peluang untuk menjawab atau menerangkannya dengan lengkap semasa pemeriksaan balas. Didalam pemeriksaan semula, soalan-soalan akan terhad kepada isu-isu yang telah ditimbulkan semasa pemeriksaan balas.

Akhir sekali, peguam pihak penentang mungkin akan melakukan pemeriksaan balas ke atas anda semula sekiranya beliau mahu. Jangan bimbang kerana kedua-dua pemeriksaan semula dan pemeriksaan balas semula akan lebih pendek dan soalan-soalan yang ditanya pula adalah lebih terhad skopnya.

 

 

Tip-tip Menjawab Soalan Sebagai Saksi

  • Ketika menjawab soalan, pandanglah kearah hakim. Selalu merujuk kepada hakim dengan penuh hormat. Anda boleh merujuk kepadanya sebagai ‘Yang Arif’.
  • Bercakap dengan kuat, terang dan teratur. Ini adalah kerana mahkamah Malaysia tidak mempunyai jurutrengkas dan hakimlah yang perlu menulis sendiri segala apa yang anda perkatakan.
  • Bercakap benar. Sentiasa bercakap benar kerana anda telah mengangkat sumpah. Sekiranya anda memberi keterangan palsu, anda boleh didakwa cuba menghina mahkamah.
  • Jangan menjawab soalan yang anda tidak faham. Sekiranya anda tidak mendengar atau faham sesuatu soalan itu dengan jelas, jangan cuba menjawabnya. Anda boleh memohon kebenaran hakim supaya soalan tersebut diulang semula kepada anda. Ambil masa untuk memahaminya sebelum anda memberi jawapan. Jangan biarkan peguam yang bertanya cuba menggesa anda menjawab soalannya. Sebagai contoh, anda boleh berkata” ”Yang Arif, bolehkah soalan tadi diulang semula kerana saya kurang faham?”
  • Jangan cuba meneka. Sekiranya anda tidak tahu jawapan bagi sesuatu soalan, atau jika anda tidak ingat jawapan bagi sesuatu soalan, cuma katakan sahaja yang anda tidak tahu. Jangan cuba untuk meneka jawapannya. Sekiranya anda dapati sukar untuk menyatakan ‘ya’ atau ‘tidak’ sahaja, katakanlah ia dan kemudian terangkan jawapan anda.
  • Jangan biarkan peguam yang bertanya cuba melemahkan tahap keyakinan anda dengan cuba bersikap agresif didalam soalan-soalan beliau, atau cuba mengelirukan anda dengan soalan-soalannya.
  • Jangan cuba menawarkan maklumat. Jawapan soalan-soalan yang diberi dengan ringkas dan padat. Tidak perlu menawarkan maklumat tambahan. Sebagai contoh, sekiranya anda ditanya berapakah anak yang anda ada, jawapan anda sepatutnya berbunyi: ”Saya ada tiga orang anak” atau cuma “Tiga” dan bukannya ”Saya mempunyai tiga orang anak yang berumur dua, lima dan sepuluh tahun. Yang paling muda ialah lelaki dan dua lagi adalah perempuan”.
  • Jangan menerima sesuatu yang dikatakan oleh peguam sebagai fakta hanya semata-mata kerana peguam yang bertanya berkata sedemikian. Sekiranya sesuatu itu kedengaran tidak betul kepada anda, jangan mengiyakannya. Yakinilah pengetahuan anda sendiri berkenaan fakta kes tersebut. Anda lebih mengetahui fakta kes anda sendiri jika dibandingkan dengan orang lain, termasuklah peguam yang menyoal anda dan jangan biarkan peguam itu mengelirukan anda. Sebagai contoh, berhati-hatilah dengan sebarang ringkasan yang dibuat oleh peguam yang menyoal anda. Dengarlah dengan teliti. Sebagai contoh, peguam yang menyoal anda mungkin berkata sebegini kepada anda: ”Saya katakan disini bahawa anda mengabaikan suami dan anak-anak anda dengan meninggalkan rumah perkahwinan anda pada …..” Sekiranya anda tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, anda sepatutnya menjawab: ”Saya tidak bersetuju”
    (Nota: Ia sudah cukup untuk menunjukkan bahawa anda tidak bersetuju. Tidak perlu anda menerangkannya dengan lebih lanjut lagi).
  • Dengari sebarang bantahan. Dengar dengan teliti sebarang bantahan yang dibuat oleh peguam yang tidak menyoal anda (biasanya oleh peguam anda sendiri). Sementara anda sedang disoal, peguam yang tidak menyoal mungkin akan tiba-tiba berdiri dan berkata kepada hakim: “Saya membantah” Ini bermakna bahawa peguam yang tidak menyoal tadi tidak bersetuju dengan soalan yang sedang disoal, dan beliau tidak mahu anda menjawabnya. Ia kemudiannya terserah kepada hakim samada anda perlu menjawabnya atau tidak. Sekiranya hakim rasa anda perlu menjawab soalan tersebut, maka beliau akan berkata seperti berikut: “Bantahan ditolak”. Yang mana dalam kes ini, anda perlulah terus menjawab soalan tersebut. Sebaliknya, sekiranya hakim merasakan anda tidak perlu menjawab soalan itu, maka beliau akan menyatakannya kepada anda. Dengan itu anda tidak perlulah menjawab soalan tersebut.

 

Sekian.. selamat bersedia dan hadapi dengan jayanya..Jangan Gentar.

 

Sumber :

http://www.ehomemakers.net/my/qaboard.php?id=110