Bengkel Penulisan Kajian Kes JKR Malaysia

Bengkel Penulisan Kajian Kes JKR Malaysia telah diadakan dengan jayanya pada 5 dan 6 September 2018 bertempat di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE). Program yang dikendalikan oleh Cik Lee Meng Foon dihadiri oleh seramai 22 orang pegawai JKR Malaysia.

Bengkel ini bertujuan untuk mendedahkan peserta dengan jenis-jenis kes, bagaimana menilai kes-kes serta mengetahui teknik dan proses penulisannya. Dengan pengalaman ini, peserta dapat menghasilkan sendiri kes yang bermutu untuk digunakan dalam proses pembelajaran.

Penulisan kajian kes merupakan satu pendekatan pembelajaran yang membolehkan peserta menggunakan pengalaman, kemahiran dan kreativiti dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penggunaan kajian kes menggalakkan peserta turut terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran dengan kerjasama, bertukar-tukar pendapat dan saling berinteraksi. Kajian kes yang baik akan membantu proses pembelajaran menjadi lebih cekap dan berkesan.