Bengkel Project Lessons Learned

Sebagai langkah berterusan bagi memastikan aset pengetahuan di JKR dapat diuruskan dengan sistematik, satu siri Bengkel Project Lessons Learned JKR telah diadakan di beberapa zon di seluruh negara bermula pada bulan Mac sehingga Oktober 2016. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada para peserta mengenai kaedah dan tatacara yang komprehensif dalam penyediaan dokumen Project Lessons Learned JKR.

Bermula dengan bengkel di Zon Utara pada 23 dan 24 Mac 2016 yang telah dihadiri oleh wakil Pejabat Portfolio JKR Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dan disertai bersama oleh wakil daripada projek-projek yang telah dikenalpasti, Unit ECKM yang diketuai oleh Sr Roznita Othman dan dibantu oleh Ir Fithry Mohd Amir dan En Khairil Hizar Md Khuzaimah telah mengadakan siri lawatan seterusnya ke Zon Selatan (Melaka dan Johor) pada 19 dan 20 April 2016, Zon Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang dan JKR KESEDAR) pada 18 dan 19 Julai 2016, WP Labuan pada 25 dan 26 Julai 2016 dan Zon Tengah (WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan).

Bengkel Project Lessons Learned yang seterusnya telah diadakan di Ibu Pejabat JKR Malaysia pada 13 dan 14 Oktober 2016 yang dihadiri oleh wakil daripada Cawangan Kerja Bangunan Am 1, Cawangan Kerja Kesihatan, Pasukan Projek Khas Bangunan, Cawangan Jalan, Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur dan Cawangan Kerja Pendidikan. Sesi bengkel terakhir bagi tahun 2016 akan diadakan pada 20 dan 21 Oktober 2016 yang dijangka akan dihadiri oleh wakil daripada tujuh Cawangan di Ibu Pejabat JKR.