Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Pembudayaan Ilmu (JKPPPI) Bil. 1/2018

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Pembudayaan Ilmu (JKPPPI) Bil. 1/2018 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 5 Mac 2018. Mesyuarat dipengerusikan oleh YBrs. Ir Ab Hamid Hj Md. Daud, Pengarah Kanan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu dan turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ir Hj. Habbali Ibrahim, Pengarah JKR WP Putrajaya selaku tuan rumah mesyuarat kali ini. Seramai 35 orang Knowledge Managers JKR dari semua pejabat telah hadir ke mesyuarat JKPPPI yang kali pertama dianjurkan bagi tahun 2018.

Di antara kertas kerja yang dibentangkan termasuk Laporan Aktiviti Communities of Practice (CoP) JKR, Kalendar Aktiviti ECKM 2018, Laporan Pembudayaan Ilmu oleh JKR WP Putrajaya dan kertas cadangan Program Persada Minda @ JKR 2018. Di sebelah petangnya, sesi mesyuarat diteruskan dengan Bengkel Knowledge Buzz yang dikendalikan oleh dua orang Certified Knowledge Manager (CKM) JKR iaitu Pn Zainon Mohd Tohid dan Pn Nor Parzila Abdul Ghaffar. Sesi ini bertujuan untuk membolehkan kedua-dua CKM JKR mendapatkan maklumbalas dan cadangan daripada pakar rujuk dan Knowledge Managers berkenaan dengan projek Pengurusan Pengetahuan yang sedang dilaksanakan.

Pada hari berikutnya, satu sesi lawatan ke Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MAGIC) yang bertempat di Cyberjaya telah dijalankan di mana para Knowledge Managers telah dibawa untuk melawat fasiliti di pusat inovasi dan kreativiti negara tersebut. Semasa sesi lawatan, En. Andi Suswandi, Pengarah Komuniti MAGIC telah sudi untuk menyampaikan taklimat ringkas berhubung fungsi MAGIC dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh agensi tersebut. Semoga lawatan ini akan dapat memberi manfaat kepada semua Knowledge Managers yang hadir.