Modul Baru e-Learning “Value Management Strategik (VMS)” Kini Ditawarkan Di Portal EPSA

Sukacita dimaklumkan bahawa satu modul baru e-Learning JKR Malaysia bertajuk Value Managemet Strategik (VMS)” yang dibangunkan hasil kerjasama di antara  Unit Pengurusan Nilai, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) JKR dengan Bahagian Pengurusan Nilai, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri kini ditawarkan di portal e-Pembelajaran Sektor Awam (EPSA) @ www.epsa.gov.my.

Modul yang dibangunkan pada bulan September 2020 telah menerima pentauliahan daripada Jawatankuasa Pentauliahan Bahan Kursus e-Learning JKR Malaysia yang dianggotai oleh CPAB, CREaTE, CDPK dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Bukit Kiara.

Kandungan modul e-Learning ini memberi pengenalan mengenai intervensi Pengurusan Nilai Strategik atau menggunapakai  singkatan VMS. VMS merupakan salah satu inisiatif Value at Entry di samping  Acquisition Categorization (ACAT) dan Gerbang Nilai 0 (GN0) untuk aplikasi semasa pewujudan projek di peringkat perancangan strategik oleh Kementerian, Jabatan atau Agensi Pelanggan.

Sehingga kini, JKR Malaysia telah membangunkan sebanyak 11 modul e-Learning termasuk “Fundamental of Project Management“, “Jalan Rosak: Apa yang Perlu Anda Tahu” dan “Reinforced Concrete: Workmanship Issues at Site During Construction”.

Dengan adanya modul e-Learning yang ditawarkan di Portal EPSA, diharapkan peluang dan capaian penjawat awam kepada pengetahuan dan latihan secara berterusan bila-bila masa di mana jua dapat dipertingkatkan. Portal EPSA boleh diakses sepanjang masa sama ada melalui komputer, tablet ataupun telefon pintar. Sila layari Portal EPSA hari ini di www.epsa.gov.my.