Pemerkasaan Pengetahuan Tasit Melalui Inisiatif e-Pembelajaran JKR Malaysia

Pemerkasaan Pengetahuan Tasit Melalui Inisiatif e-Pembelajaran JKR Malaysia

Pengenalan

Sebagai sebuah organisasi berpembelajaran, Jabatan Kerja Raya Malaysia memberi penekanan khusus kepada aspek pemerkasaan ilmu pengetahuan secara berterusan di kalangan warga Jabatan. Ini selaras dengan visi Jabatan untuk menjadi pemberi perkhidmatan bertaraf dunia dan pusat kecemerlangan di dalam bidang pengurusan aset, pengurusan projek dan perkhidmatan kejuruteraan demi pembangunan infrastruktur negara melalui modal insan yang kreatif dan inovatif serta teknologi terkini.

Bagi tujuan tersebut, program Pengurusan Pengetahuan JKR Malaysia atau lebih dikenali sebagai Enterprise Content & Knowledge Management (ECKM) telah diperkenalkan pada tahun 2008 sebagai langkah bersepadu untuk memastikan aset pengetahuan kritikal Jabatan yang dimiliki oleh individu, pasukan dan organisasi dapat diurus tadbir secara sistematik dan menyeluruh. Pelaksanaan program strategik ini bertujuan  untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengetahuan organisasi ke arah memaksimumkan produktiviti modal insan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan Jabatan.

Cabaran Menguruskan Pengetahuan Teknikal 

“We know more than we can tell” ~ Michael Polanyi

Sepanjang pelaksanaan ECKM di JKR Malaysia, antara cabaran yang dihadapi dalam menguruskan pengetahuan kritikal adalah mengenalpasti kaedah dan teknik berkesan bagi mencungkil dan mendokumentasikan pengetahuan yang berbentuk tasit ataupun tersirat. Berbanding dengan pengetahuan eksplisit (tersurat) yang lebih mudah untuk diuruskan dan disimpan di dalam pelbagai jenis artifak termasuk dokumen, visual, audio dan video, pengetahuan tasit lebih bersifat peribadi yang sukar untuk diterjemahkan di dalam bentuk simbol atau bahasa. 

Memetik ungkapan Michael Polany di dalam buku bertajuk “The Tacit Dimension”, dilema ini diterjemahkan dalam kata-kata beliau “we know more than we can tell”. Beliau berpandangan pengetahuan tasit adalah pengetahuan berteraskan pengalaman dan kemahiran seseorang individu yang sukar untuk diterjemahkan dan direkodkan dan pada kebiasaannya ianya akan kekal bersama individu tersebut sepanjang hayatnya. 

Namun demikian, Ikujiro Nonaka and Hirotaka Takeuchi telah memperkenalkan model penciptaan pengetahuan (knowledge creation model) yang dikenali sebagai SECI Model (Socialisation, Externalisation, Combination, and Internalisation) pada tahun 1995 yang antara lain menerangkan sifat pengetahuan yang berbentuk dinamik dan boleh berubah bentuk daripada tasit ke eksplisit dan sebaliknya. Model tersebut memperincikan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk mencungkil pengetahuan tasit termasuk sesi perkongsian pengetahuan/pengalaman, pemerhatian (observation) dan perantisan (apprenticeship).

e-Pembelajaran di Jabatan Kerja Raya Malaysia

Menyedari kepentingan untuk menguruskan pengetahuan tasit dengan lebih efektif, JKR Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk “Expert Talk Series” dan “Wacana Teknikal Bersama Pakar Bidang Khusus dan Pakar Rujuk Jabatan”. Kedua-dua program ini dirancang dengan teliti untuk berfungsi sebagai platform yang kondusif kepada pakar Jabatan dari pelbagai disiplin dan bidang untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing bersama-sama warga Jabatan.

Expert Talk Series melibatkan sesi perkongsian mengenai topik yang spesifik yang disampaikan oleh pakar Jabatan melalui kaedah pembentangan di samping sesi lawatan tapak dan demonstrasi. Antara pakar Jabatan yang pernah terlibat dengan program Expert Talk Series termasuk Ir. Dr. Lim Char Ching dengan perkongsian bertajuk “Concrete Durability”, Sr Amran Mohd Majid (Penilaian Tuntutan Akibat dari Lanjutan Masa), Ir. Mohd Noor Azudin Mansor (Concrete Works), Ir. Dr Abdul Murad Zainal Abidin (Pengurusan Tenaga Dalam Bangunan) dan Dr. Mohd Sabere Sulaiman (Kepentingan Konservasi Bangunan Warisan). Rakaman video Expert Talk Series boleh diakses di Portal JPedia di pautan https://bit.ly/3B9A631 dan EPSA INTAN (https://www.epsa.gov.my).

Domain Expert Talk Series di Portal JPedia

Wacana Teknikal Bersama Pakar Bidang Khusus dan Pakar Rujuk Jabatan merupakan inisiatif terkini program ECKM JKR Malaysia yang diperkenalkan sebagai wadah kepada pakar Jabatan untuk berkongsi pengetahuan bersama warga Jabatan secara separa formal. Sesi Wacana Teknikal dilaksanakan secara dalam talian dan bersifat interaktif di mana peserta yang menghadiri sesi wacana ini berpeluang untuk berkomunikasi bersama pakar sama ada untuk bertanya soalan ataupun memberi pandangan.

Pada tahun 2021, sebanyak 21 slot Wacana Teknikal Bersama Pakar Bidang Khusus dan Pakar Rujuk Jabatan telah dikenalpasti di mana ianya berlangsung dari bulan April sehingga Disember 2021. Antara pakar yang telah terlibat dengan program pembudayaan ilmu ini termasuk  Sr Rohanis Ab Ghani (Pengurusan Nilai Strategik), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin (Ada Apa Dengan Teknologi IR4.0) dan YBhg. Datin Ar. Yong Razidah Rashid (Rekabentuk Sejagat Dalam Pelaksanaan Projek). Slaid pembentangan dan rakaman video sesi Wacana Teknikal boleh diakses melalui Portal JPedia melalui pautan: https://bit.ly/3eymVP5.

Domain Wacana Teknikal Bersama Pakar Bidang Khusus dan Pakar Rujuk Jabatan di Portal JPedia

Penutup

Maklumat lanjut mengenai program Enterprise Content & Knowledge Management boleh didapati dengan melayari Portal JPedia di alamat https://bit.ly/38wsSI7 atau dengan menghubungi Unit Enterprise Content & Knowledge Management, Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Ibu Pejabat JKR Malaysia [[email protected] atau [email protected]].

Sumber: Buletin PO Bil. 2/2021